KELANTAN BANTU RAKYAT MILIKI RUMAH MAMPU MILIK

TANAH MERAH 22 Mac – Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) Mukim Pasir Genda yang dikenali dengan nama Taman Wadi Iman merupakan RMMK keempat yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri bercadang memperkenalkan satu kaedah terbaik dalam usaha memudahkan rakyat Kelantan dapat memiliki rumah mampu milik di negeri ini.

Ahmad berkata, cadangan itu sekurangnya dapat memberi peluang kepada golongan berpendapatan sederhana dapat memiliki rumah terbabit. Bagaimanapun cadangan itu masih lagi dalam peringkat berbincangan.

“Kita harap usaha untuk membantu rakyat ini membolehkan golongan yang berpendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 ke bawah mampu memiliki rumah.

“Setakat ini kerajaan Kelantan menerusi agensinya termasuk PKINK sudah menyiapkan lebih 5,000 rumah mampu milik di seluruh negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, ketika berucap di Majlis Mesra Bersama Pemohon Rumah Mampu Milik Kelantan Mukim Pasir Genda di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Dato’ Abdul Fattah Mahmood dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Dato’ Dr Wan Zawawi Wan Ismail.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Dato’ Dr Wan Zawawi Wan Ismail pula berkata, projek rumah mampu milik yang dibina oleh PKINK adalah projek yang tidak mendatangkan keuntungan.

Zawawi berkata, bagaimanapun pembinaan RMMK ini adalah untuk kelangsungan rakyat yang berkelayakan menerimanya.

“Rumah mampu milik ini dijadikan sebagai agenda khas untuk membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah tanpa mendatangkan keuntungan.

“Sebagai contoh di Pasir Genda, Tanah Merah, kos pembinaan rumah mampu milik ialah RM6.7 juta manakala hasil jualannya lebih kurang RM4 juta.

“Jadi PKINK dan kerajaan terpaksa menanggung perbezaan harga lebih RM2 juta, tetapi kita masih cuba mengekalkan harga asal ditetapkan,” katanya.

Zawawi berharap, usaha yang berterusan dan sokongan semua pihak dapat membantu PKINK untuk terus melaksanakan projek-projek seterusnya yang diamanahkan oleh kerajaan negeri.

Join The Discussion

Compare listings

Compare